Monday 14 October 2013

DATO' JAMAL CALON 02 KETUA BAHAGIAN SUNGAI BESAR. 'TRANSFORMASI KEPIMPINAN'

Dato' Jamal bin Md. Yunos atau lebih dikenali sebagai seorang usahawan yang berjaya dan juga merupakan pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar yang mempunyai lebih daripada 20 cawangan di seluruh Malaysia telah menyatakan hasrat murni beliau untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

Calon 02 bagi jawatan itu bersandarkan kepada amanat daripada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak yang mahukan UMNO ini menjadi sebuah parti yang mampu diterima ramai terutama bagi golongan muda.

Dengan membawa slogan 'Transformasi Kepimpinan' serta bermatlamatkan meremajakan parti, Dato' Jamal mengambil langkah kehadapan untuk turut sama berjuang dalam parti bagi mengetuai UMNO Bahagian Sungai Besar dengan nombor calon 02.

Sebagai atas dasar membalas budi UMNO dan Barisan Nasional yang selama ini banyak membantu beliau dalam hidup, AJK Biro Keusahawanan Pemuda UMNO Malaysia ini ingin mencurah bakti kepada para penduduk di kampung asalnya sendiri setelah lama berkelana mencari rezeki.

Tiada apa lagi yang dapat membalas jasa dan budi kerajaan Barisan Nasional kecuali memajukan serta membawa parti UMNO ini lebih kehadapan dan supaya dapat menarik minat orang ramai terutama anak muda.

02 KETUA UMNO BAHAGIAN SUNGAI BESAR 02


Thursday 10 October 2013

SEJARAH BANGKITNYA RESTORAN SEKINCHAN IKAN BAKAR

Setelah kejayaan demi kejayaan digapai insan bernama Jamal Md Yunos ini, imbauan nostalgia jerih payah yang dilalui sewaktu beliau mula-mula berniaga seawal usia 10 tahun di Pasar Sekinchan menerjah. Beliau begitu berhasrat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di kampung asal tempat kelahiran beliau, Sekinchan.

Dengan penglibatan beliau dalam bidang restoran dan makanan menerusi pembukaan restoran sekinchan Ikan Bakar. Beliau telah dapat mengalakkan industri tanaman serai oleh penduduk setempat. Hampir 2 tan serai diborong oleh beliau sehari dalam menghasilkan ramuan rencah ikan bakar. Dato Jamal juga membantu dalam memberikan wang pendahuluan kepada pengusaha tanaman serai sebagai satu galakan kepada mereka.

Dengan kemajuan dari penerimaan orang ramai terhadap resepi restoran Sekinchan Ikan Bakar, Dato Jamal telah berjaya membuka sebanyak 20 buah cawangannya yang lain di seluruh Malaysia. Sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada lebih 700 orang pekerja, yang kebanyakannya adalah orang Melayu.

Begitulah hebatnya identiti yang dibawa seorang anak melayu, Dato Jamal; yang tampil membela nasib anak-anak Melayu yang lain.

Sebagai selingan dari cerita kejayaan beliau, terdapat kumpulan anak-anak yatim mengadu nasib dengan beliau.Anak-anak yatim ini asalnya datang ke Sekinchan Ikan Bakar mengadu rumah mereka yang diwakafkan telah dirampas.Simpati dengan nasib yang dialami mereka, atas rasa tanggungjawab sesama bangsa dan agama, keberadaan yang beliau kecapi hasil dari rezeki Allah Taala, tidak mengekang beliau dari membantu tangan-tangan yang memerlukan. 

Tidak timbul soal kedekut, tamak atau haloba pada beliau kerana Dato Jamal percaya dengan yakin, yakni "Rezeki Allah itu Luas untuk diKongsi". Beliau telah begitu bermurah hati menyerahkan rumah beliau di Sungai Buloh untuk dijadikan Rumah Anak Yatim Al Amin yang kini mempunyai lebih kurang 80 orang penghuni.

Dipandang sebagai insan yang berkemampuan yang suka menghulurkan bantuan, beliau dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab mencari dan mengumpulkan dana untuk pembedahan adik Fakrul Razi yang menghidap kanser hati.

SEORANG ANAK MUDA YANG PUNYAI AZAM TINGGI ITULAH DATO' JAMAL!!

Dengan modal dan simpanan dari memiliki 11 cawangan gerai burger. Dato Jamal kemudiannya berjinak-jinak dalam bidang perkhidmatan. Pada tahun 1994, beliau telah berjaya membuka sebuah syarikat yang bernama KHEMAH MAJU SDN BHD yang berfungsi untuk menyediakan perkhidmatan khemah dan membekalkan peralatan alat-alat tulis. Dan dalam masa yang sama, beliau juga turut menceburi bidang pembinaan melalui syarikat RASMI PADI SDN BHD.

Beliau memulakan kerjaya di dalam bidang Automotif pada tahun 1995, di mana pada ketika itu beliau menjadi pengarah di PROMINENT MOTORBIKE SDN BHD. Jawatan pengarah ini telah memberi satu peluang kepada beliau untuk menunjukkan kemampuannya menguruskan sebuah syarikat di mana beliau dapat menguruskan syarikat tersebut dengan baik.

Tahun 1998, merupakan antara kemuncak kejayaan hidup Dato Jamal. Syarikat JAMAL JAYA HOLDING SDN BHD telah ditubuhkan pada tahun 1998, di mana hala tuju perniagaan syarikat ini adalah aktif di dalam bidang membekal serta menguruskan pekerja asing bagi memastikan usaha yang berterusan dan kualiti kerja dipertingkatkan dalam menjadikan syarikat ini lebih cemerlang.

Melalui syarikat ini juga, beliau telah berjaya menubuhkan 9 buah anak syarikat yang fungsinya merangkumi pelbagai bidang termasuklah perkhidmatan, perladangan, ternakan, pembinaan, tenaga pengajar, dan lain-lain.

Beliau kembali mencipta kejayaan dalam bidang Automotif dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di IBM AUTOMOBILES SDN BHD. Sebagai seorang yang berinisiatif tinggi, beliau sendiri telah ke United Kingdom untuk menguruskan pengimportan kereta ke Malaysia. Tujuannya untuk memastikan kesemua kereta-kereta itu berada di dalam keadaan terbaik dan menepati citarasa pelanggan. Bagi melebarkan jalinan perniagaan, penerapan konsep 3S iaitu ‘Sales, Services and Spare Parts’ digunapakai bagi menaiktarafkan IBM AUTOMOBILES SDN BHD menjadi ‘One Stop Centre’.

DATUK JAMAL, ANTARA ANAK KAMPUNG SEKINCHAN YANG BERJAYA!!!

SIAPA sangka, anak kampung tidak memiliki pendidikan tinggi ini akan bergelar jutawan dan memiliki rangkaian perniagaan yang bukan calang-calang. 

TULANG BELAKANG...Jamal (tengah) bersama sebahagian pekerja di IBM Automobiles Sdn Bhd.

Buktinya, dia berjaya membina empayar perniagaan yang mungkin tidak dapat dicapai individu berijazah mahupun berkelulusan tinggi lain yang lebih gemar kerja makan gaji.

Tidak pernah lupa asal usulnya, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, kejayaan dikecapi tidak datang bergolek, sebaliknya ia hasil kerja keras dan sikap tidak pernah putus asa yang tertanam dalam dirinya. 

Menceritakan kembali zaman kesusahannya waktu itu, Jamal berkata, keluarganya bukan daripada kalangan orang senang. Bapanya hanya bekerja kampung manakala ibunya penjual kuih.

"Seawal usia 10 tahun, saya menolong abang menjual hasil tangkapan laut di Pasar Sekinchan menaiki basikal sejauh lima kilometer dari rumah.

"Selain itu saya melakukan pelbagai kerja kampung seperti kopek kelapa, kait kelapa dan menolong rakan menjual burger bagi mencari duit poket," katanya.

Sebaik tamat sekolah di Sekolah Menengah Datuk Mustafa Pasir Panjang, Sabak Bernam, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Berbekalkan wang hasil kerja kampungnya sebanyak RM80, dia berazam mengubah nasib dirinya dan keluarga, apatah lagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.

Meskipun disuruh ibunya mengambil semula peperiksaan itu, dia enggan kerana minatnya lebih terdorong ke arah kemahiran, terutama perniagaan.

"Pada mulanya ibu melarang saya ke Kuala Lumur sebab dia mahu saya mengambil SPM kali kedua, namun saya 'terpaksa' tipu mengatakan saya hanya mahu berjumpa kawan di sana.

"Tiba di Kuala Lumpur, saya menumpang di rumah seorang rakan dan bekerja sebagai budak penghantar surat dengan gaji RM7 sehari.

"Waktu itu baru saya tahu bagaimana peritnya bekerja di kota besar dengan gaji yang tak seberapa hinggakan dalam keadaan terdesak, saya pernah makan baki nasi bungkus ditinggal rakan yang dihurung semut dalam keadaan gelap untuk alas perut kerana tidak berselera menelannya dalam keadaan terang," katanya.

Tambah Jamal, hanya tuhan tahu perasaannya waktu itu sebab mahu buang tidak sampai hati, manakala mahu beli nasi baru dia tiada wang.

Selepas dua bulan menjadi budak penghantar surat, dia berhenti kerja akibat tidak tahan leteran majikan sebelum bekerja di kilang Ramly burger di Cheras dengan pendapatan RM10 sehari.

Bosan dengan kerja makan gaji, pemilik syarikat pengimport dan penjual kenderaan import baru dan terpakai IBM Automobiles Sdn Bhd ini tekad memulakan hidup baru dengan membuka perniagaan menjual burger di sekitar Bandar Baru Sentul.

Waktu itu dia menggunakan kayu terpakai mendirikan gerai mengikut kreativitinya sendiri, termasuk mengecat sebagai langkah permulaan.

Tidak menyangka sambutan diterima di luar jangkauan, bermula hanya sebuah gerai ia berkembang menjadi 11 gerai menjual burger sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun beroperasi.

Dalam tempoh itu juga Jamal mampu membeli tujuh van digunakan sebagai kemudahan berniaga di 13 lokasi pasar malam yang beroperasi serentak.

"Selepas perniagaan burger maju, saya mengembangkannya dengan membuka syarikat menyediakan perkhidmatan khemah dan membekalkan alat tulis kepada Kementerian Pertahanan dan jabatan kerajaan selain menceburi bidang pembinaan.

"Pada 1995, minat saya lebih terarah ke bidang automotif pula dan berpeluang menjadi pengarah di sebuah syarikat permotoran," katanya.

Prestasi baik yang ditunjukkan membolehkan Jamal ditawarkan jawatan eksekutif jualan kepada beberapa syarikat pengimport kereta.

Jawatan itu juga membolehkan dia menjelajah ke Itali, Jepun dan negara Eropah lain bagi mengetahui lebih lanjut mengenai dunia automotif.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Nasib tidak menyebelahi Jamal apabila negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997.

Jamal terpaksa menggadaikan semua aset sedia ada bagi melangsaikan hutang tertunggak. Tidak mampu menghadapi tekanan, dia melarikan diri ke Jakarta selama setahun.

Berbekalkan RM100,000 di sana, dia memulakan hidup baru dengan menjual kain pasang yang dieksport ke Malaysia dan perniagaannya maju.

"Mungkin ini ujian Allah supaya berkongsi rezeki dengan mereka yang berhak. Namun saya reda dan ia benar-benar memberi pengajaran supaya tidak lalai dengan nikmat diberi.

"Pun begitu saya bersyukur walaupun aset tergadai, segala hutang berjaya dilangsaikan dan pulang saja ke Malaysia, saya tekad membuka semula perniagaan secara perlahan sebelum berjaya membuka IBM Automobiles Sdn Bhd," katanya.

Kini Jamal mampu tersenyum puas apabila jualan keretanya menjangkau 30 kereta sebulan, malah semua anak syarikatnya juga dalam keadaan stabil.

PROFIL
NAMA: Datuk Jamal Md Yunos
UMUR: 33 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif IBM Automobiles Sdn Bhd
ASAL: Sungai Leman, Sekinchan
ISTERI: Nurhanizatul Shida Mat Hassan
ANAK: Mohd Amin Danial (10)

MESKIPUN memiliki rangkaian perniagaan besar dan bertaraf jutawan, ia bukan satu tiket untuk Jamal mendabik dada, sebaliknya rezeki diperoleh dikongsi bersama mereka yang berhak. 
"Saya akan mengadakan seminar selama seminggu yang diadakan di IBM di Kuala Lumpur, malah segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.

"Daripada 50, 10 yang terbaik dipilih mengikuti kursus automotif di Itali dan Jepun sebagai persediaan apabila pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pekerja serba boleh.

"Di sana, mereka akan diajar cara penyelenggaraan kenderaan yang pelbagai bentuk dengan betul dan lebih terperinci," katanya.

Dalam pada itu, IBM Automobiles terus mengorak langkah apabila bakal membuka dua cawangan sekitar Lembah Klang dan di negeri yang belum diputuskan.
Menariknya, ia bukan sekadar pusat jualan kereta, malah turut disediakan bengkel dan kemudahan alat tukar ganti di tempat sama.

Paling membanggakan, IBM Automobiles turut memiliki rangkaian di United Kingdom (UK). Bukan mudah bagi anak Melayu menembusi pasaran luar negara jika tidak memiliki kedudukan ekonomi kukuh.

"Di sana ada tiga kakitangan memantau segala urusan mengenai kereta yang bakal dibawa ke Malaysia. Saya bersyukur sebab selama ini tidak pernah bermimpi memiliki perniagaan seperti sekarang," katanya.

Sewaktu ditanya mengenai kehidupan hariannya yang banyak dihabiskan di pejabat berbanding di rumah, Jamal menjelaskan ia rutin biasa.

"Memandangkan isteri turut menjalankan perniagaan, jadi tiada masalah sebab kami faham kesibukan masing-masing. Selalunya jika ada masa lapang kami mengambil cuti dan bersantai bersama anak.

"Setakat ini dia (isteri) tidak pernah merungut, malah kami sentiasa memberi kata-kata sokongan antara satu sama lain untuk bergelar usahawan berjaya," katanya sambil tersenyum.